Malaysian Community Care Foundation (MCCF) mengambil inisiatif menjalankan Program Saringan Prihatin Komuniti (PSPK) COVID-19 untuk komuniti kelompok di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Program saringan COVID-19 secara Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) ini melalui kerjasama antara Hercules Medicare Sdn Bhd dan Makmal Mikrobiologi Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).
Usaha ini bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di dalam komuniti khususnya setelah Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju sekatan rentas daerah dan negeri di seluruh negara adalah dibenarkan kecuali bagi kawasan PKPD. Ini membolehkan mereka yang sudah lama tidak pulang ke kampung mengambil peluang untuk merentas negeri bagi menziarahi orang tua mereka.
Menurut Pengerusi MCCF, Halim Ishak berkata, mereka yang mengambil keputusan untuk pulang ke kampung khususnya daripada zon merah di Selangor dan Kuala Lumpur perlu mengambil tanggungjawab sendiri dengan melakukan saringan sebelum berjumpa dengan orang tua dan keluarga di kampung. Ini kerana individu berisiko seperti warga emas yang mempunyai komplikasi penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi lebih mudah terdedah dengan wabak ini.
“Sama-sama kita menyumbang untuk membendung pandemik ini, kenal pasti awal mereka yang dijangkiti dan asingkan agar PKPB kita boleh berakhir secepat mungkin,” katanya.
MCCF turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan di samping melakukan saringan tepat melaui RTPCR bagi membantu frontliners memutuskan rantaian wabak COVID-19 ini. Sebarang pertanyaan dan temujanji atas talian berkenaan saringan boleh hubungi kami di talian 03-61786091/6095.
[metaslider id=\”4712\”]