Ogos 4, 2019 – Masjid Ubaidah, Kg Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka.
Program Jom Cuci Masjid (JCM) siri ke 34 kali ini memilih Masjid Ubaidah di Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka sebagai lokasi untuk melakukan kerja amal di samping mendekati masyarakat di sekitar masjid dalam usaha untuk memperkukuhkan ukhwah sesama Islam. Program anjuran Jabatan Operasi Teknikal Media Prima Berhad dengan usahasama beberapa NGO dan agensi kerajaaan seperti Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Sifu Bikerz, Polis Di Raja Malaysia, serta TV3 Bikers dan lain-lain kumpulan motor ini merupakan program komuniti yang dijalankan di seluruh negara terutama di kawasan-kawasan luar bandar.
Selain menjalin ukhwah, program itu juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan badan-badan kerajaan dengan penduduk setempat melalui aktiviti amal yang dijalankan. Menerusi program ini, pihak penganjur, penduduk kampong serta sukarelawan terdiri dari hampir 400 peserta konvoi bermotorsikal dan sukarelawan MCCF akan berkerjasama membersihkan kawasan masjid, tanah perkuburan termasuk membaiki kerosakan kecil serta mengecat semula bangunan dan pagar masjid di mana cat dan peralatan mengecat disumbangkan oleh MCCF sebelum ini.
Seperti mana program sebelum ini, para peserta akan bergerak secara beramai-ramai sekitar jam 7.30 pagi di bangunan Sri Pentas, Bandar Utama menuju ke Masjid Ubaidah dan dijangka tiba sekitar jam jam 9.00 pagi. Peserta akan bersarapan bersama penduduk kariah masjid dan mengadakan solat dhuha berjemaah seterusnya bersama-sama bergotong royong mencuci masjid, membersihkan kawasan sekitar masjid. Sebahagian daripada mereka akan bergotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan serta tazkirah ringkas di kawasan tanah perkuburan, solat zuhur berjemaah dan menikmati makan tengahari istimewa yang disediakan oleh penduduk setempat iaitu bubur lambuk kampung warisan dan daging Gerang asam pindah.
Hadir sama memeriahkan program JCM kali ini ialah Imam Besar Masjid Negeri Melaka, Pengerusi MCCF, Tuan Haji Halim Haji Ishak serta Felo Penasihat MCCF Ustaz Hanafiah Abdul Malek.
Sejak program pertama sehingga kini, JCM telah berjaya dalam usaha untuk memberikan khidmat sukarela di mana setiap program yang dijalankan mendapat sambutan menggalakan daripada sukarelawan dan penduduk setempat.
Malah program ini turut mendapat sokongan daripada pihak kerajaan negeri, pemimpin setempat dan masyarakat umumnya. Program ini juga sedikit sebanyak berjaya menyuntik hati nurani masyarakat untuk melakukan amal jariah yang sememangnya amat dituntut oleh agama. Seramai 100 orang penerima sumbangan berupa beras, minyak masak, tepung gandum dan garam yang di sumbangkan oleh beberapa pihak swasta dan individu.
Lihat gambar dan video menarik di Facebook
[metaslider id=\”747\”]