Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera. Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah SWT dengan limpah rahmat-Nya kita telah diberi kesempatan untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kami dengan jayanya.
Tanpa kita sedari dan begitu cepat sekali waktu berputar kita akan melangkah ke tahun baru 2020. Begitu banyak pengalaman dan kenangan suka duka yang telah kita tempuhi. Namun dikesempatan yang ada ini, saya mengucapkan selamat tahun baru 2020. Semoga permulaan tahun baru ini disulami dengan tekad dan iltizam yang baik untuk diri sendiri, keluarga, organisasi, agama, bangsa dan negara kita.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Setelah empat tahun Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) ditubuhkan, MCCF terus melaksanakan program pembangunan sosio-ekonomi di dalam komuniti yang berdaya membina kemakmuran hidup, memperkukuh perpaduan dan memelihari keamanan negara. Tugas ini dilaksanakan bersama-sama dengan warga kerja, sukarelawan, institusi dan organisasi lain.
Saya berazam untuk membuka lembaran baru tahun 2020 ini dengan semangat dan azam untuk memastikan nila-nilai murni dapat disebarkan kepada masyarakat melalui pelbagai cara. Justeru, objektif Yayasan iaitu Kemakmuran, Perpaduan, Keamanan akan terus menjadi perkara teras dalam MCCF demi kebaikan generasi akan datang dan juga negara.
Dalam pada itu, saya berpegang kepada falsafah bahawa apa saja idea, tugasan mahupun perancangan, kita tidak akan mampu mencapainya sekiranya ia hanya bergerak secara bersendirian. Semangat bekerjasama sebagai satu pasukan adalah penting bagi mencapai kejayaan.
Justeru, saya percaya bahawa falsafah ‘Alone We Can Do So Little; Together We Can Do So Much’ perlu dibudayakan dalam masyarakat.
Sebagai Pengerusi MCCF, saya menyeru kepada rakyat Malaysia supaya kita mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan serta bersama-sama meningkatkan persefahaman dan kerjasama erat untuk membangunkan negara. Sesungguhnya, situasi negara yang aman menjamin kesinambungan hidup yang sempurna.
Bersempena dengan kehadiran tahu baru 2020 ini, saya berharap agar dapat kita bersama-sama memastikan tahun 2020 ini menjadi tahun yang penuh manfaat dan produktif.
Untuk mengakhiri amanat, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga MCCF dan para sukarelawan di atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang tahun 2019. Saya berharap kita perolehi pencapaian yang lebih baik lagi pada tahun 2020.
Sekian, terima kasih.