Assalamualaikum & Selamat Sejahtera
Hari ini, kita meraikan Hari Wanita Sedunia (International Women’s Day). Hari Wanita Sedunia disambut setiap tahun di seluruh dunia pada 8 Mac untuk meraikan kejayaan dan pencapaian kaum wanita dalam pelbagai bidang di samping memperjuangkan agenda wanita. Sambutan ini juga dapat menjadi simbol penghargaan dan kasih sayang kepada setiap wanita di dalam hidup seseorang, sama ada dalam kehidupan profesional ataupun peribadi. MCCF ingin mengucapkan Selamat Hari Wanita khusus kepada YBhg. Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, yang juga tonggak kepada kepimpinan YBhg. Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia ke-8.
Keterlibatan kaum wanita amat diperlukan oleh negara yang membangun seperti Malaysia untuk terus maju ke hadapan. Dalam hal ini, tenaga kerja wanita tidak terkecuali daripada memainkan peranannya untuk bersaing sama ada sebagai isteri, ibu serta pekerja yang mempunyai gaji, sumbangan mereka didalam pembangunan bangsa dan negara adalah amat penting.
Memperkasakan tanggungjawab kaum wanita adalah peranan yang besar untuk mencapai kesaksamaan gender di Malaysia, sekali gus melahirkan pemimpin wanita berkaliber. Jika dahulu, stereotaip masyarakat terhadap wanita adalah wanita hanya perlu duduk di rumah dan melakukan kerja-kerja rumah sahaja. Tetapi masyarakat hari ini telah banyak berubah. Wanita lebih dihargai dan dipercayai untuk diberi amanah dan tanggungjawab. Kaum wanita mendapat segala hak utama yang mereka kehendaki sama ada dari segi peluang pekerjaan, bidang ekonomi, pemilikan harta, hak bersuara dan sebagainya.
Hari ini, kaum wanita telah mula menyedari kekuatan dan kebolehan mereka untuk memajukan diri mereka dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Kita dapat melihat kaum wanita mencapai pencapaian yang lebih tinggi dan juga mengembara ke ruang angkasa. Mereka menceburi pelbagai bidang dan mencapai kejayaan di mana sahaja mereka pergi.
Wanita hari ini lebih berdikari dan bebas melakukan apa sahaja serta terlepas daripada belenggu patriarki. Kita perlu menghormati wanita bukan kerana gender, tetapi kerana identiti mereka sendiri. Kita harus terima bahawa kaum wanita juga menyumbang secara sama rata kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Setiap wanita itu istimewa, tidak kira di mana mereka bekerja – di rumah atau di pejabat, mereka tetap menyumbang kepada masyarakat dan yang paling utama, kaum wanita memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kesejahteraan keluarga mereka terus dipelihara. Seperti kata pepatah “Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia”. Marilah kita bersama-sama menghargai dan mengiktiraf sumbangan wanita dalam kehidupan kita dimana mereka menjadi inspirasi kepada ahli keluarga dan insan-insan lain diatas kejayaan mereka.
PENGERUSI MCCF
HALIM BIN ISHAK